Pada 4 June 2014, genap usia perkahwinan kami yang ke-4. Seperti pasangan lain, kami juga tidak terkecuali untuk mengharungi pelbagai dugaan. Namun apabila kita bersama pasangan, kita akan menjadi lebih kuat untuk menghadapi segala dugaan yang melanda. Setiap orang pasti ada kisahnya tersendiri, di sini saya cuma ingin berkongsi apa yang telah kami lalui. Yang baik dijadikan iktibar dan yang buruk dijadikan sempadan.
Pengalaman menyambut kelahiran anak pertama sememangnya tidak dapat dilupakan. Mana tidaknya, rasa 'contraction' pun tidak tahu, apatahlagi tanda-tanda bersalin. Pada 13 June 2011, pada pukul 12.32 pagi, lahirlah seorang putera yang diberi nama Adam Azhad bin Adha. Selepas selamat melahirkan, bermulalah peranan sebagai ibu dan ayah. Namun selepas bersalin, saya langsung tidak mampu untuk duduk, apatahlagi untuk berdiri. Semuanya bergantung kepada suami, suami mandikan, salinkan pakaian, pakaikan stokin, dan membantu untuk bergerak. Ketika itu, rasa bersyukur sangat kerana dikurniakan seorang suami yang sudi membantu dikala susah. Seorang suami yang tidak pernah mengeluh dan sentiasa memberikan semangat. Terima kasih encik suami.
Pada tahun 2014, merupakan tahun yang paling banyak dugaan bagi kami. Allah menguji tahap keimanan kami, pada ketika itu saya hampir hilang pertimbangan, dan sering menyalahkan diri. Ketika anak kedua kami yang berusia 9 bulan terpaksa menjalani pembedahan, kerana masalah usus. Melihat tubuh kecil yang terpaksa menanggung kesakitan, membuatkan diri ini menangis sepanjang masa. Selepas pembedahan, si kecil yang diberi nama Azalea Adawiyah, terpaksa berpuasa selama dua hari, tanpa makan dan minum. Sayu melihat anak kecil yang menangis kerana kelaparan. Ibu mana yang sanggup melihat anaknya menangis sentiasa. Namun, suami tetap tabah, walaupun, ini kali pertama saya melihat dia mengalirkan air mata. Dia sentiasa memberi semangat, membacakan ayat-ayat suci Al-quran, menyuruh perbanyakkan solat sunat dan dia merupakan kekuatan saya untuk menghadapi segalanya. Terima kasih encik suami.
Sebagai suami isteri, kita saling bergantungan, janganlah kita mencari kelemahan pasangan kita, tapi lihatlah apa pengorbanan yang telah dia lakukan. In shaa allah, pasangan kita adalah yang terbaik untuk kita, hargailah mereka. Semoga semua orang bahagia dengan kehidupan berumahtangga.
No comments:
Post a Comment