Showing posts with label Hadis-hadis Hukum Mengenai Solat. Show all posts
Showing posts with label Hadis-hadis Hukum Mengenai Solat. Show all posts

Saturday, 1 August 2015

Hadis-hadis Hukum Mengenai Solat: Kiblat

1. Dari Barra' bin 'Azib, ujarnya: "Adalah Rasulullah s.a.w. solat menghadap ke arah Baitul Maqdis enam belas atau tujuh belas bulan lamanya. Sebenarnya Rasulullah s.a.w. ingin (agar solat itu) menghadap ke Ka'bah." Lalu Allah menurunkan ayatNya: "Sungguh Kami (Sering) melihat mukamu menengadah ke langit." (2:144). Maka Nabi pun solat menghadap ke arah Ka'bah. Dan berkata orang-orang yang kurang akalnya di antara manusia, iaitu mereka orang-orang Yahudi: "Apakah yang memalingkan mereka (umat Islam) dari kiblatnya (Baitul Maqdis) yang dahulu mereka telah berkiblat kepadanya? Katakanlah: "Kepunyaan Allahlah Timur dan Barat; Dia memberi pimpinan kepada siapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus." (2:142). Seorang laki-laki yang bersolat bersama Nabi s.a.w. (ketika terjadi perubahan kiblat itu) setelah selesai dari solat, maka pergilah ia melewati segolongan orang-orang Ansar yang sedang melakukan Asar masih menghadap ke arah Baitul Maqdis. Lalu katanya ia menyaksikan bahawasanya tadi ia telah solat bersama Rasulullah s.a.w., dan sesungguhnya telah menghadap ke arah Ka'abah. Maka berpalinglah kaum tersebut, hingga mereka menghadap ke arah Ka'abah."  (Riwayat Bukhari dan Muslim, lafaz ini dari Bukhari)

 
2. Dari Abdullah bin Umar, katanya: "Sementara orang banyak solat Subuh di Quba', tiba-tiba datang seseorang kepada mereka lalu mengatakan: "Sesungguhnya telah diturunkan (ayat) Al-Quran tadi malam kepada Rasulullah s.a.w., dan telah diperintahkan beliau menghadap ke Ka'abah (ketika solat), maka menghadaplah kamu ke arahnya! "Dan adapun mereka yang sedang menghadapkan muka-mukanya ke Syam, lalu berputar menghadap ke Ka'bah." (Riwayat Bukhari)

 
3. Dari Ibnu Umar, ujarnya: "Bahawa Rasulullah s.a.w. solat sunat menghadap kemana saja arah tujuan unta yang di kendarainya."   (Riwayat Muslim)
 
 
4. Dari Jabir, katanya: "Adalah Rasulullah s.a.w. mengerjakan solat diatas kenderaannya kemana kenderaan itu menuju. Maka apabila beliau hendak mengerjakan solat fardu, beliau turun (dari kenderaannya) lalu menghadap ke kiblat."


 

Tuesday, 28 July 2015

Solat Menurut Contoh Yang di Kerjakan Oleh Nabi s.a.w.

Firman Allah Azza wa Jalla di dalam Al-Qur'anul Karim.
 
1. " Sesungguhnya telah ada pada (peribadi) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu, (iaitu) bagi orang-orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (keselamatan) hari kiamat dan (bagi orang-orang yang) banyak menyebut Allah."   (Al-Ahzab 33:21)
 
2. Dan Malik bin Al-Huwairits, ujarnya, telah bersabda Rasulullah s.a.w.: "Solatlah kamu sebagaimana kamu lihat aku (mengerjakan) solat!"   (Riwayat Al-Bukhari)
 
3. Dari Abu Humaid As Saidi, katanya: "Kulihat Rasulullah s.a.w apabila bertakbir, diangkatnya kedua belah tangannya setentangan dengan kedua belah bahunya, dan apabila rukuk, ditekankannya kedua tangannya di kedua lututnya, kemudian diratakannya punggungnya. Maka apabia beliau mengangkat kepalanya, beliau berdiri tegak, sehingga kembali. Setiap tulang di tempatnya. Lalu apabila beliau sujud diletakkannya kedua tangannya dengan tidak terbentang dan tidak mengepitnya, dan dihadapkannya ujung-ujung jari kedua belah kakinya ke arah kiblat. Dan apabila duduk sesudah dua rakaat, beliau duduk di atas kakinya yang kiri dan ditegakkannya (kakinya) yang kanan. Dan apabila duduk dirakaat yang akhir, dimajukannya kakinya yang kiri dan didirikannya kaki yang lainnya, dan beliau duduk di atas punggungnya."   (Riwayat Al-Bukhari)
 

Friday, 26 June 2015

Pengertian Solat

Teks: Noor Azila Mohamad
Sumber Rujukan: Buku hadis-hadis hukum mengenai bersuci dan solat.
Foto: Google images
 
 
Perkataan "solat" dalam pengertian bahasa Arab ialah: " Doa memohon kebajikan dan pujian." Dan ada pula yang mengertikannnya selain dari takrif tersebut dengan makna: ta'zim, rahmat dan berkat.
 
" Dan bersolatlah atas mereka (berdoalah untuk mereka); kerana sesungguhnya solatmu (doa'mu) itu menjadikan ketenteraman jiwa bagi mereka." 
(Surah At-Taubah 9:103)
 
Takrif solat yang dikehendaki oleh syarak, ialah nama bagi suatu ibadat yang paling utama, yang pokok, yang menjadi tiang agama Islam, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w dalam hadisnya yang berikut ini:
 
" Solat itu tiang Agama. Barangsiapa mendirikan solat, maka sesungguhnya ia telah mendirikan Agama; dan barang siapa meruntuhkannya, maka sesungguhnya ia telah meruntuhkan Agamanya."
(Riwayat Al-Baihaqi dari Umar r.a. Al-Ihya 2:9)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...