Tuesday, 3 June 2014

Didik Anak Solat

Sedikit perkongsian sebagai seorang ibu muda. Anak-anak kecil yang baru mula mengenal dunia, merupakan insan yang terlalu mulia, tidak tahu menipu, tidak tahu berbuat kejahatan, tidak ada perasaan dengki, dan menganggap semua orang sekelilingnya adalah baik. Sebagai ibu bapa, kita merupakan contoh teladan kepada mereka. Segala perbuatan kita, akan diikuti tanpa bantahan, dan menjadi panduan hidup mereka. Jika baik teladan yang kita tunjukkan, baiklah mereka, tetapi jika buruk yang mereka lihat, itu jugalah yang berlaku.
 
Bilakah anda perasan, si kecik anda mula meniru pergerakan solat? Solat merupakan perkara wajib dan setiap hari dilakukan. Semestinya anak-anak akan kerap melihat pergerakan solat kita. Kebiasaannya, mereka akan meniru sujud dan rukuk. Itu bermakna mereka mula berminat untuk tahu. Apa kata, kita mula menggalakkan mereka untuk mengikut kita solat, seperti menyediakan sejadah kecil, menyediakan telekung kanak-kanak yang menarik, membentangkan sejadah untuknya ketika kita berjemaah bersama suami dan mengajar secara santai.
 
Sebagai ibu bapa juga, kita seharusnya menanam sikap menjaga solat pada anak-anak, sejak dari kecil. Bak kata orang tua-tua "melentur buluh biarlah dari rebungnya". Pastikan anak-anak membawa telekung sekiranya ingin bercuti. Ini kerana, telekung kanak-kanak jarang disediakan di tempat-tempat solat awam. Seringkali di surau-surau kita dapat lihat, kanak-kanak terpaksa menggunakan telekung dewasa. Apa yang paling menyedihkan, apabila anak-anak disuruh duduk di tepi dinding sambil bermain 'i-pad'. Bukanlah lebih baik di ajak solat bersama. Sebagai ibu bapa yang perihatin, apa kata kita sentiasa memandang serius mengenai didikan solat anak-anak sejak dari kecil. Moga anak-anak kita menjadi anak-anak yang soleh dan solehah. Amin.
 
 
 


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...