Wednesday 17 December 2014

Hikmah disebalik ujian Tuhan.

Teks: Noor Azila Mohamad
Foto: Google image & koleksi peribadi

Assalammualaikum..

Sempat menjengah ke blog rakan ABDR, Pn Sariah Awang Senik http://sariahawangsenik.blogspot.com/, Mencari ilham untuk menulis, Alhamdulillah, apabila membaca blog beliau, tentang suka duka kehidupan, terdetik untuk menulis tentang, " Hikmah disebalik ujian Tuhan". In shaa Allah sedikit perkongsian yang tidak seberapa daripada saya.



 
Saya pasti semua orang pernah merasa diuji, sama ada ujian kecil ataupun ujian besar. Apabila kita diuji dengan kesakitan, perpisahan, kegagalan, kemiskinan dan pelbagai lagi, kadang-kadang terdetik juga didalam hati, "Kenapa mesti aku?, apakah tuhan tidak sayangkan aku?' Kenapa mesti aku diuji seberat dan sekerap begini?". Subhanallah, tanpa kita sedari, kita seolah-olah sudah mempersoalkan kuasa Tuhan, padahal kita hanya hambaNya. Hamba tidak berhak menyoal, sebaliknya akan disoal. Namun itulah kelemahan manusia.
 
Antara hikmah ujian, seseorang itu akan berbalik kepada tuhanNya dan menjadi hamba Allah yang taat. Yang mana selama ini, jalan itu disekat oleh hawa nafsu. Sebab ujian itu bertentangan dengan keinginan dan kehendak nafsu manusia. Nafsu itu tidak suka pada sakit, rugi, miskin dan sebagainya. Lalu apabila diuji, nafsu itulah yang terdesak, tidak senang dan ingin segera keluar daripada ujian itu. Jadi apabila nafsu terdesak, hati dan akal akan terbuka. Inilah jalan kebaikan, kerana ajakan untuk melakukan kejahatan akan turut tertahan, kerana nafsu itu sangat mengajak pada kejahatan. Ujian itu sesugguhnya akan melemahkankan nafsu, menghilangkan kekuatannya serta batalkan kudratnya. Bila nafsu lemah, manusia tidak akan jatuh ke lembah dosa (mengejar keseronokan dunia sehingga melupakan batasan syariat).
 
Ujian juga mampu mendidik hati untuk redha dan tawakal, kerana Qada dan Qadar-Nya mesti berlaku. Manusia akan lebih dekat dengan agama, kepentingan akhirat, cinta kepada Allah. Hikmah ini walaupun sebesar zarah tetapi apabila melekat di hati kebaikannya lebih tinggi dari amal lahiriah walaupun sebesar gunung. Inilah kebaikan di sebalik kepahitan ujian. Justeru, Allah berfirman:
“…Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan sesuatu itu merosakkan kamu. Dan Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak tahu.” (Surah Al Baqarah : 216).
 
 
Kita mungkin boleh bercakap yang kita beriman pada Qada dan Qadar-Nya sebelum kita diuji, tetapi apabila kita diuji dengan ujian yang berat adakah kita rasa kita mampu menghadapinya. Hanya ujian Allah yang mampu menguji keimanan seseorang. Saya sendiri akui, saya juga insan yang lemah, saya pernah rasa berputus asa saat diuji, Alhamdulillah, sokongan suami menyedarkan saya, bahawa saya seolah-olah menyalahkan takdir tanpa saya sedari.
 
 
Ujian paling berat yang pernah saya rasakan, sewaktu saya terpaksa membuat keputusan untuk membenarkan Doktor menjalankan 'major operation' ke atas anak yang baru berusia 9 bulan. Hanya beberapa jam untuk membuat keputusan, jika tidak dibedah akan memudaratkan dan jika dibedah juga bergantung kepada kekuatan si kecil. Ya Allah, hati ibu mana yang mampu melihat anak menderita, hati ibu mana sanggup melihat anak menangis kerana kesakitan, hati ibu mana yang dapat bertahan di kala anak terpaksa berpuasa sebelum dan selepas pembedahan. Saya akui, saya insan yang lemah untuk menghadapi segalanya. Saya menyalahkan diri sendiri, air mata mengalir tiap kali melihat si kecil. Ketika itu juga, kali pertama sepanjang perkahwinan saya, saya melihat suami mengalirkan air mata.


 
 
Walaupun begitu, suami tetap cuba memberikan semangat dan kekuatan. Ibu dan ayah juga sentiasa ada disaat saya sangat memerlukan mereka. Alhamdulillah, saya mula tersedar, hanya Allah yang berkuasa atas segalanya. Saya cuba perbanyakkan doa dan mendekatkan diri dengan Allah.

Oleh itu, apabila diuji, terimalah dengan baik dengan mencari hikmah-hikmahnya kerana tidak ada takdir Allah yang tidak ada hikmahnya. Orang soleh bila diuji, hikmah-hikmah ujian akan mendekatkan mereka kepada Allah. In shaa Allah. Semoga kita sentiasa di bawah perlindunganNya.

 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...