BIODATA

Alhamdulillah, dengan penuh kesyukuran, pada 6 June 1985, pasangan Mohamad Khalid dan Noraziah Awang, menimang cahaya mata yang ke-5. Puteri kesayangan yang diberi nama Noor Azila bt Mohamad @ Khalid. Walaupun hanya bekerja sebagai peneroka felda, mereka berjaya membesarkan enam orang puteri kesayangan, dengan penuh kasih sayang. Paling membanggakan, mereka telah memberikan didikan yang sempurna sehingga semua berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading. Terima kasih mak dan abah untuk segalanya.

Mendapat pendidikan rendah dan menengah di Felda Keratong, berbekalkan keputusan PMR yang cemerlang, melayakkan diri untuk tinggal di Asrama Felda Kelana Jaya dan bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Taman Petaling. Perjalanan hidup yang nampak biasa, namun hanya pengembara yang tahu rahsia di sebaliknya.

Mari kita berkongsi sedikit pengalaman hidup yang mungkin boleh dijadikan iktibar. Di peringkat menengah, saya mengambil aliran sains tulin, dan semestinya kimia merupakan salah satu subjek wajib. Semenjak dari awal lagi, kimia merupakan sesuatu yang menakutkan bagi saya. Mana tidaknya, dengan guru yang garang, rotan yang panjang, denda memanjang, jawab soalan di depan dan 'homewor' bertinbun. Malah, paling menakutkan mengenai kimia ialah apabila tiba waktu 'eksperiment', menggunakan bahan kimia merbahaya, suhu tinggi, asid pekat, pengendalian yang perlu berhemah,ohhh... cukup merimaskan. Keputusannya, setiap kali peperiksaan, pen merah digunakan untuk mengisi markah kimia. Sebulan sebelum SPM, guru kimia ditukar, kini guru kimia mempunyai personaliti yang berbeza, lebih lemah lembut, lebih perihatin dan lebih memahami. Semangat baru kini berputik, sebulan untuk mengubah segalanya. Alhamdulillah, akhirnya keputusan SPM untuk subjek kimia boleh dibanggakan. Dengan harapan, semoga tidak diketemukan lagi dengan kimia.

Namun, memang tidak disangka, saya dan kimia umpama magnet berlainan kutub. "Semakin ku cuba lari, semakin kau mendekati", macam dalam lagu pula. Di ketemukan lagi dengan kimia, iaitu dalam jurusan Diploma Kimia Perindustrian dan seterusnya Sarjana Muda Sains (Kimia Gunaan). Kesimpulannya, Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk umatnya. Mungkin kita nampak ia sebagai kelemahan, tetapi sebenarnya itulah kekuatan kita.

Selepas tamat belajar, saya mula bekerja sebagai pegawai pemakan di UIA, Gombak. Sememangnya di luar bidang, namun semangat untuk bekerja telah menyebabkan saya menerimanya. Sesuatu yang baru, banyak yang perlu di pelajari. Ilmu Allah itu terlalu luas, seperti pesan orang tua-tua, kalau kita ingin menjadi nelayan, belajarlah menjadi nelayan, kalu kita ingin menjadi petani, belajarlah menjadi petani, sebab petani ilmunya berbeza dengan nelayan.

Walaubagaimanapun, sebagai bekas pelajar kimia, kita akan tetap mencari bidang yang telah kita pelajari. Di terima bekerja di sebuah kilang membuat sarung tangan getah sebagai "chemist"atau dalam bahasa melayunya, pegawai kimia. Bermulalah perjalanan hidup sebagai minah kilang. Bekerja dalam sebuah kilang agak berbeza dengan sebuah makmal biasa, kuantiti bahan kimia yang besar, bahan kimia yang lebih merbahaya, mengendalikan acid berkepekatan tinggi, mengendalikan pekerja-pekerja lelaki dan pelbagai risiko merbahaya.

Alhamdulillah, pada 4 June 2010, saya disatukan dengan seorang insan yang sangat istimewa, Adha Sarbini sebagai seorang suami. Perkenalan semenjak diploma sebagai rakan sekelas sehingga bergelar suami isteri dan kini di kurniakan sepasang cahaya mata. Pada awal perkahwinan, kami duduk berasingan, seorang di Klang dan seorang lagi di Terengganu. Disebabkan saya hanya bercuti pada hari ahad, dan suami pada hari jumaat dan sabtu, ini menyebabkan kami tiada masa untuk berjumpa. Kami hanya berjumpa dua minggu sekali. Akhirnya, atas permintaan suami, saya berhenti kerja sebelum mencari pekerjaan baru di Terengganu. Setelah berhenti kerja, kami mendapat berita gembira, iaitu kami bakal bergelar 'ibu dan ayah'. Dengan ini niat untuk kembali bekerja di tangguhkan. Setelah bergelar ibu, niat untuk berkerja semakin berkurang, perasaan untuk melindungi mereka lebih mendalam.

Timbullah niat untuk berkerja sendiri, suami memberikan sepenuh sokongan, termasuklh untuk modal permulaan. Tapi tanpa ilmu tidak akan membawa kita ke mana-mana. Sokongan suami, sangat-sangat membantu, sebagai langkah permulaan, saya mencari ilmu tentang perniagaan, pelbagai kelas dan bimbingan dihadiri untuk memantapkan diri. Sepanjang mengikuti kursus-kursus ini,yang kebiasaannya di luar Terengganu, suami akan menunggu sambil menjaga si kecik. Suami selalu memberikan sokongan dan nasihat. Suami selalu berpesan "suri rumah adalah pekerjaan yang terbaik untuk si isteri dan tanggungjawab mencari nafkah adalah tanggungjawab suami".

Bermulalah sebuah perniagaan kecil-kecilan, yang didaftarkan di atas nama A&A Creative Craft. Saya memulakan bisnes online dengan menghasilkan produk kraftangan berasaskan mutiara dan kristal. Minat yang mendalam terhadap aksesori membuatkan saya memilih untuk menghasilkan design sendiri untuk produk saya. Atas nasihat suami agar memilih sesuatu yang kita suka untuk mengisi masa lapang di samping menjana pendapatan.

Pada hari lahir tahun lepas, suami menghadiahkan beberapa buah buku. Terdapat sebuah buku yang membuatkan saya terfikir. Seorang perniaga, harus tahu apakah yang mampu di sumbangkan kepada agama melalui perniagaannya. Di dalam buku tersebut, seorang usahawan memberitahu, dia membuka kilang pakaian supaya umat islam menutup aurat mengikut syariah dan dia juga membuka kilang makanan agar dia dapat membekalkan makanan yang bersih dan halal kepada umat islam. Ini membuatkan saya mula mencari sesuatu yang baru, Alhamdulillah, mungkin inilah jawapannya, menjual telekung solat. Alhamdulillah, kini saya merupakan pemborong dan peruncit telekung solat.

Dengan menyertai ABDR, saya ingin mencari ilmu baru tentang pengurusan bisnes online melalui blog. Dengan bimbingan dan tunjuk ajar daripada guru-guru yang jauh lebih berpengalaman, mungkin dapat memberikan semangat dan panduan yang lebih berguna untuk dunia dan akhirat. Terima kasih untuk semua yang sudi menerima diri ini seadanya terutama cikgu Anys Idayu Zakaria.

1 comment:

  1. Salam kenal Sis Azila :) Semoga usaha sis diberkati Allah. Insya-Allah. Sudi singgah ke blog saya ;)

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...