Wednesday, 29 October 2014

Pengalaman bisnes.

Teks: Noor Azila Mohamad

Kita hanya mampu memilih satu daripada dua pilihan yang ada, bagi mendapatkan hasil yang terbaik. Mungkin boleh melakukan keduanya dalam satu masa, tetapi bukan bagi saya. Saya terpaksa membuat pilihan, bekerja sendiri ataupun makan gaji, untuk lebih fokus. Disebabkan beberapa faktor, saya mengambil keputusan untuk bekerja sendiri. Tetapi untuk bertindak saya perlu melengkapkan diri terlebih dahulu. Ilmu perlu ditimba, pelbagai bahan bacaan dicari  dan pelbagai kursus dihadiri.
 
Pada permulaan, apa yang saya nampak, hanya sebuah kedai yang menjadi target utama. Kertas kerja untuk membuat pinjaman hampir siap. Tiba-tiba segalanya bagai terhenti seketika, apabila suami menghadiahkan sebuah buku 'Biar Kecil Asalkan Berhasil'. Buku ini banyak memberikan panduan dan semangat untuk mula berniaga tanpa modal dan saya suka pada kata-katanya "...perniagaan yang memerlukan kita berhutang untuk berkembang adalah perniagaan yang kurang bagus." Pokok pangkalnya, kita mulakan dengan apa yang kita ada.
 
Saya mula mengubah pandangan tentang bisnes, saya mencari sesuatu yang saya minat dan tidak memerlukan modal yang besar. Bisnes yang saya mula-mula terlibat ialah 'mutiara dan kristal'. Saya memang peminat tegar kristal, saya mula mengenali mutiara dan kristal swarovski. Ramai yang cakap bisnes ini memerlukan modal yang besar, sebab harganya yang agak mahal. Tetapi terpulang bagaimana anda bermula. Saya hanya memulakan dengan beberapa design gelang dan rantai, kemudian saya sertakan dengan carta warna kristal. Dengan ini, apabila pelanggan memilih design dan warna, baru saya akan mendapatkannya. Sehingga kini, hasil daripada jualan tersebut saya mampu untuk menambah stok jualan.
 
Disebabkan suami sering keluar kawasan, dan  saya sebagai pembantu peribadi yang setia bersamanya, menyebabkan saya mempunyai beberapa masalah untuk menguruskan penghantaran barang. Saya terfikir untuk mencari satu lagi bisnes, yang tidak memerlukan saya untuk menguruskan barang. "Dropship", itu yang saya cari. Sehingga saya berjumpa dengan ABDR. Saya mula belajar "dropship" untuk telekung solat, dan saya mencari beberapa pembekal lain untuk mempelbagaikan produk. Alhamdulillah, setiap hari kita belajar untuk menimba ilmu baru. Saya mula mencuba sesuatu yang baru, saya belajar untuk mendapatkan produk terus dari Vietnam. Dengan ini, apabila saya keluar kawasan, saya masih boleh menguruskan penghantaran dengan 'dropship' dan saya juga boleh menguruskan stok sendiri.
 
Namun, pelbagai lagi ilmu perlu dicari, banyak lagi kekurangan diri, sesungguhnya setiap ilmu yang kita cari akan banyak menbantu kita di kemudian hari. In shaa Allah.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...